Bengkel Pemantapan Debat Beri Pendedahan Kepada Pendebat Muda

Posted 1:47 PM by KDBM@PUTRA in Labels:
Bagi memastikan kualiti perdebatan peserta-peserta debat yang bersaing merebut kejuaraan Liga Debat Putra Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang julung-julung kali diadakan ini bertambah baik dari masa ke masa maka pihak penganjur LDP telah memutuskan untuk melakukan penjenamaan semula perlaksanaan LDP dengan menyediakan ruangan bengkel debat dan penghujahan yang telah berjaya diadakan pada Sabtu (09 Januari 2010) yang lalu bertempat di Dataran Melur KTDI. Bengkel yang dijalankan selama satu hari itu telah dipecahkan kepada beberapa slot yang utama.

Slot pertama ialah slot pengenalan kepada asas debat dan pembukaan konsep yang telah disampaikan oleh Mohd Syamsul Salleh, slot kedua ialah perkongsian pengalaman tentang teknik penghujahan dan penyusunan hujah yang disampaikan oleh Ammar Redza manakala slot ketiga adalah slot bidasan yang dikemudi oleh Amirrudin Abd Rahman.

Perkongsian ilmu bersama saudara Mohd Syamsul, Ammar Redza dan Amirrudin

Selain tiga slot utama ini, di sebelah petang kira-kira pada jam 3.15ptg, peserta-peserta bengkel juga berpeluang untuk menyaksikan perlawanan debat yang mempertemukan Juara Debat DiRaja 2008 (UPM) dengan Juara Debat Di Raja 2009 (UKM). Rata-rata peserta bengkel tertarik dengan simulasi debat yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan ini dalam membahaskan usul "Kopitiam lebih baik daripada kedai kopi" sebelum slot mentor mentee mengakhiri sesi bengkel ini.

Menerusi slot mentor mentee, pendekatan yang digunakan adalah lebih kepada berkonsepkan perkongsian pandangan yang berfokus oleh seorang pendebat universiti kepada peserta apabila peserta dipecahkan mengikut gabungan dua buah kolej kediaman dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan persediaan pasukan menjelang perlawanan LDP pada 10 januari 2010.

Kebanyakan peserta berharap agar simulasi debat dan bengkel debat sebegini dapat dibudayakan kerana ianya mampu memberi pemahaman yang lebih jelas kepada peserta bengkel khususnya pendebat tentang konsep dan teknik perdebatan yang sebenanrnya.

Menjawab mengenai persoalan dan cadangan tersebut, Saudara Fadzril Izwan Jamaldin yang merupakan setiausaha agung LDP merangkap Pengarah KDBM@PUTRA turut mengalu-alukan kedatangan peserta-peserta debat LDP untuk bersama-sama pasukan debat universiti menjalani latihan mingguan di Kolej ke-13. Melalui perkongsian dan penglibatan aktif peserta kolej dan pasukan universiti secara tidak langsung berupaya untuk mengembangkan lagi budaya debat dan perkongsian ilmu antara pendebat senior dan pendebat junior yang masih baru bertapak dalam bidang pengucapan ini.

Sebahagian dari peserta bengkel

Bengkel yang dijalankan bermula jam 9.00pg ini telah tamat pada jam 6.00 petang. Pihak jawatankuasa Liga Debat Putra ingin berterimakasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Tun Dr Ismail, pendebat-pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel ilmu ini.


0 comment(s) to... “Bengkel Pemantapan Debat Beri Pendedahan Kepada Pendebat Muda”

0 comments: